Wednesday, May 14, 2008

BLOG: UiTM JANGAN MENGARUTLAH...

Beberapa hari yang lalu saya ada terbaca dalam Berita Hairan tentang hasrat seorang besar UiTM kalau tak silap saya namanya entah saya tak nak ingat yang bercadang nak ujudkan satu kursus baru di UiTM iaitu kursus menulis Blog. Saya belek dan baca dua kali kenyataan pandir Si entah saya tak nak ingat ni untuk mencari kerelevenannya cadangan beliau tu. Tapi yang pasti kesimpulan saya ialah ini antara cadangan bertaraf hampeh dan paling hompong yang keluar dari kepalanya.

Mentang-mentanglah ada beberapa orang pembesar PEKEMBAR yang baru bangun tidur merepet-repet menyalahkan penulis blog sebab kalah dalam PRU 12 yang lalu maka si entah saya tak nak ingat ni pun dan dan nak ambik kesempatan nak bodek dan kalau boleh mimpi nak buat duit sikit.

Tak payah lah sibuk-sibuk nak adakan subjek penulisan blog ni sebab ramai dah yang di luar sini amat mahir dalam hal blog memblog ni. Tambahan pula ada banyak laman yang menawarkan khidmat atau ruangan untuk menulis blog secara percuma. Diajar pulak lagi secara detail dan dalam masa kurang dari lima minit kita dah boleh ujudkan blog kita sendiri. Kita dah boleh menulis dan mengeluarkan pendapat mengikut apa yang kita rasa. Lepas tu boleh pulak berseronok atau syok sendiri menulis dan membaca sendiri apa yang kita tulis. Kalau kebetulan tulisan atau pandangan kita berjaya menarik minat pembaca lain maka secara tak langsung kita dah dapat ramai kawan di alam maya. Jadi apa pula perlunya UiTM mewujudkan fakulti atau kursus khas untuk blog ni.

Kononnya dia ni nak jadikan penulis blog sebagai anggota masyarakat yang beretika dan menulis secara berhemah dan penuh tatatertib. Tertib dan hemah bentuk apa lagi yang nak ditonjolkan nya pun saya susah nak faham. Adalah lebih baik beliau kumpulkan semua penulis di semua akhbar arus perdana dan didik semula mereka tu cara menulis berita yang benar dan suci dari fitnah dan adu domba.

Kalau saya bawakan cadangan beliau ni ke pangkuan sahabat saya iaitu Tn Hj Razali Isnin ( saya dengar dah lama jadi Guru Besar ) dah tentu Hj Razali atau turut dikenali dengan nama Zali GESTAPO akan tergelak berdekah-dekah sampai menonggeng mengenangkan betapa canggihnya pendapat yang dikeluarkan ini. Ini lah dia tahapnya pemikiran peneraju UiTM masakini . Kalau kepala hotak dia yang dah menjadi bonsai , jangan lah pulak otak orang lain pun nak dibonsaikan sama.

Janganlah bagi malu orang lama macam Tn Hj Razali ni atau seorang lagi kawan lama En Kassim Abdullah dari Kg Padang Astana Raja. Mereka berdua ini adalah antara ratusan pejuang yang berani menyuarakan pendirian dalam kes GESTAPO 34 tahun dulu. Budak-budak sekarang ni tak tau dan kalau pernah tau pun mungkin dah lupa kisah perjuangan orang terdahulu ni . Lagi pun penulisan sejarah dikuasai oleh orang yang berkepentingan jadi banyak cerita sebenar yang disapu ke bawah lantai.

Agaknya kalau lah pembesar itu tadi ada di ITM 34 tahun dulu mungkin beliau hanya layak jadi tukang bawak air saja sebab otak kecik , hati pun turut kecik Cuma berani cakap besar bila ada orang besar di belakang. Kesianlah sikit pada budak-budak keluaran UiTM sebab dengan idea tak cerdik ini tak pasal-pasal budak UiTM kena kutuk.

Orang ni lupa agaknya atau mungkin tak tau sebab selalu menahan diri dalam serungkup tempurung PEKEMBAR bahawa dunia blog ni dah berkembang dengan amat pantas dan jauh dari jangkauan nya. Penulisan blog telah berkembang pesat dan mula membudaya dalam masyarakat Malaysia ni. Saya rasa elok dibiar ianya berkembang secara semula jadi dan tentang hemah dan tertibnya biarlah ditentukan sendiri oleh para pengamalnya. Saya percaya orang ramai sekarang dah cerdik dan tau membezakan apa yang baik dan buruk dan mampu menilai sendiri apa yang sesuai dan tidak sesuai untuk ditulis.

Adalah lebih baik pemikiran para penulis berkembang sendiri secara semulajadi dan saya pasti jika ada yang mula menyimpang dari tatsusila yang diterima pakai , maka ramai pembaca lain yang akan memberi teguran dan nasihat . Jadi tak perlu membazir duit menubuhkab satu lagi fakulti khusus untuk mengajar teknik memblog ni.

Kalau dah tak ada sangat kajian yang nak dibuat , elok rasanya pihak UiTM berbincang dan adakan pertemuan dengan pihak MARDI atau apa saja agensi yang besesuaian dan cari jalan bagaimana nak mengetinkan buah rambutan. Bila dah ditinkan boleh jugak dieksport keluar negara .Tentang bekalan jangan risau sebab rambutan adalah antara pokok yang amat mudah hidup dan sesuai dengan cuaca di negara kita. Cubalah buat macam orang siam yang dah lama mengetinkan buah laichi yang kita selalu telan tu. Ada jugak faedahnya untuk mengembangkan ekonomi bangsa.

Kalau kita perasan setiap tahun ribuan tan buah rambutan dibazirkan di negara kita ni. Tidak dapat dinafikan setiap musim buah rambutan yang lebat selalunya berakhir dengan hitam di pokok dan gugur sendiri kerana ketiadaan pasaran. Kalau dah terlalu banyak , tak ada orang yang berani nak melantak rambutan setiap hari. Buah yang tinggi kandungan gula ini akhirnya akan memasir jatuh ke tanah . Cubalah cari jalan selain dari mengetinkan , mungkin boleh diproses untuk mengeluarkan gulanya.

Kalau sepuluh atau dua belas tahun dulu sewaktu internet baru nak menjengah Malaysia boleh lah Norman Masrek budak tabligh yang mengajar di UiTM membuat soalan peperiksaan semester meminta pelajar membezakan antara internet dan email. Tapi hari ni jangan dibuat pasal nak buat soalan seumpama itu lagi. Naya ajer kena kencing nanti.

Monday, May 5, 2008

KRISIS BERAS TAK YAH JADI MENTERI PUN BOLEH PIKIR...

Dulu sewaktu saya masih kecil sekitar tahun 60 han dan awal 70 han dan masih belajar di sekolah rendah , beras memang t idak pernah menjadi masalah kepada keluarga kami. Walau pun keluarga kami agak sederhana iaitu mengandungi seramai 12 orang pada waktu itu ianya masih berada dalam kategori biasa kerana lazimnya setiap keluarga memang mempunyai antara 8 hingga 12 orang anak. Bukan macam orang sekarang ni baru ada 5 anak dah mengeluh ramai dan botak kepala nak cari belanja.

Majoriti orang kampung hanyalah penoreh getah pada waktu pagi dan mengerjakan sawah pada sebelah petang. Orang tua saya ada 3 ekel tanah sawah dan dengan keluasan ini cukup untuk menampung keperluan sepanjang tahun. Malah biasanya keluar zakat pulak lagi dan menjelang musim menuai akan datang padi dalam kepok masih berbaki , padi baru pulak dah naik dari bendang. Pada waktu tu orang kampung saya hanya menanam padi jenis lama iaitu turut dikenali dengan padi 6 bulan . Padi jenis ini hanya boleh mengeluarkan hasil sekali setiap tahun atau semusim. Tidak macam sekarang ada jenis padi yang dah masak dan boleh dituai dalam tempoh 3 bulan selepas ditanam atau boleh dapat dua kali setahun malahan spesis terkini boleh buat 5 kali dalam dua tahun.

Pada waktu itu amat jarang malah boleh kata tidak pernah dengar orang kampung saya kelaparan kerana ketiadaan beras. Rata rata atau kesemua orang kampung saya boleh makan nasi sekenyang-kenyangnya sekurang-kurangnya dua kali sehari. Apa susah beras dah ada dalam tempayan , padi masih banyak dalam kepok duit motong getah buat beli lauk sekadarnya. Kalau rajin ikan semilang, puyu atau haruan atau setidak-tidaknya ikan bocek boleh dapat dari sawah . Kalau teringin nak makan lauk ikan kembung atau selar kuning atau ikan tamban , Pak Amin Ikan pun ada masuk kampung setiap hari dengan basikal nya .

Dalam reban ada pulak ayam sepuluh atau duapuluh ekor. Tapi kalau budak-budak sekarang nak tau saya dulu , walau pun ada bela ayam tapi, lauk ayam adalah lauk yang istimewa kerana kalau nak makan ayam kena tunggu orang balik dari Kuala Lumpur dulu. Kalau dua bulan Arwah Pak Lang saya tak balik cuti alamat dua bulan lah tak merasa lauk ayam. Nak tunggu orang kawin pun bukannya ada tiap-tiap bulan orang kampung nak kenduri kawin.

Tapi Alhamdulillah kami masih dapat makan nasi sekenyang-kenyangnya dua kali sehari sebab keseluruhan paya yang ada di kampung saya tak pernah terbiar kosong melainkan diusahakan menjadi sawah padi. Saya dah biasa main lintah sejak berumur lima tahun , takada rasa geleman takut jauh sekali. Tak macam budak sekarang nampak pacat pun dah terjerit . Nak tanya pokok beras pun tergagap gagap. Oleh kerana mereka tak jumpa padi maka bila ditanya mereka akan jawab pokok beras.

Belum ramai lagi orang kampung saya yang dapat masuk universiti , ada tak adanya boleh lah disenarai Arwah Aziz Singah yang masuk Universiti Malaya dan Othman Rashid atau Kocik Jangkang bekas DO Tampin yang berpeluang masuk universiti. Masa tu semua orang kampung boleh makan nasi sekenyang-kenyangnya dua kali sehari. Tapi sekarang walau pun ada orang kampung saya iaitu En Norhashim Hj Ujang yang dah jadi orang nombor dua dalam MARDI , ramai orang kampung saya yang mengeluh sebab harga beras naik mencanak tanpa dapat ditahan tahan lagi. Anak baru empat lima orang pun dah gaduh ramai dan dah ramai yang tak makan nasi sekenyang-kenyangnya dua kali sehari seperti sewaktu saya kecik-kecik dulu.

Kita tak boleh nak salahkan En Hashim Hj Ujang sebab dia dah pecah kepala hasilkan benih padi 5 kali dua tahun tapi kalau kita berjalan-jalan dari Simpang Seberang Batu Hampar kemudian masuk Relong keluar Penajih dan Astana Raja melalui Tenaka sampai Lubok China , semua sawah yang dulu menguning emas kini dah jadi hutan dara walau pun belum jadi hutan simpan. Sawah dah mula tinggal sejak tahun 1985 dan pokok pokok mula naik sejak dari masa tersebut.

Saya pun susah nak tunjuk di mana punca silapnya perkara ini boleh berlaku. Kalau nak ikutkan pihak kerajaan dah keluar belanja yang bukan sedikit untuk menyediakan empangan dan taliair atau masa saya kecik dulu dipanggil benteng. Apakah kita nak kata punca air semakin kurang disebabkan pembangunan selepas pelancaran program 2020 oleh Mahathir atau orang kampung dah tak larat sebab belanja buat sawah tak berbaloi dengan hasil yang dapat dituai.

Dalam hal ini pihak kerajaan melalui jabatan dan agensi tertentu kena lah merancang pembangunan semula sawah secara bersepadu. Memang masih ada petani yang berminat untuk mengusahakan semula tanah sawah yang terbiar tetapi oleh kerana ketiadaan penyelarasan dari segi keluasan tanah yang diusahakan maka nampaknya padi yang ditanam hanya menjadi habuan kumpulan burung dan tikus sahaja.

Kalau nak buat semula sawah biar buat betul-betul jadi nanti tidak ada pembaziran dari segi sumber air dan guna tenaga . Benteng simen yang pecah tu baiki semula walau pun dulu tak pernah dapat digunakan sebaik siap pada tahun 1986. Berapa juta RM tenggelam tak tau lah nak cakap. Pembetung besi di kepala sawah Tok Aseh yang melintasi sungai tu eloklah diganti baru sebab kalau tak silap saya yang lama tu dah runtuh berpunca dari kelemahan atau ketiadaan penyelenggaraan dari pihak DID.

Mana taknya kalau kita lihat rekod kita boleh jumpa dan baca berapa ramai anggota DID atau Jabatan Parit & Taliair yang ditugaskan untuk menjaga pokok buahan dan menghias empangan untuk dibuat taman rekreasi sementara menunggu hari pencen yang makan hampir sepuluh tahun jugak. Tak caya ? Cuba tanya Hj Ramli Yusuf atau Hj Budin Sharif Durian Daun yang baru pencen dua tiga tahun dulu.. Zaman mereka amat jauh berbeza dari zaman Arwah Adom Benteng dan Arwah Tok Imam Hj Sidek .

Para pemimpin kampung boleh kumpul dan bincang semula dengan orang kampung , mana mana atau sesiapa yang tidak mampu atau tidak berminat untuk mengerjakan sawah mereka harap dapat memberi kebenaran tanah sawah mereka diusahakan sebaik nya oleh pihak ketiga . Kalau perlu sewa buatlah perjanjian bertulis sebab kita tak boleh nak buat sawah dalam skala kecil kerana seperti saya katakan tadi nak beri makan burung pun tak cukup.

Jabatan pertanian boleh menyediakan mesin pembajak . Kalau perlu kerajaan boleh ambil pelajar lepasan PMR atau SPM yang dah ada sijil kejenteraan dan ujudkan jawatan yang sesuai dengan kebolehan mereka. Kesemua mereka ini ditugaskan untuk membajak semua tanah sawah yang ada dalam Negeri Sembilan dan pihak petani boleh dikenakan bayaran yang minima , kalau dapat free lagi baik. Nak buat macam luar negeri tu , tiga atau empat petani mengerjakan ratusan ekar tanah sawah rasanya kita masih belum sampai ke tahap itu lagi. Yang penting belia ni diberi kerja yang tetap dan berpencen , sediakan mesin yang sesuai , InsyaAllah kita akan dapat melihat semula sawah kita akan menguning seperti dua puluh tahun dulu. Mungkin Tok Mat Hassan boleh mula membeli 50 atau 100 buah mesin bajak sawah dan kalau kurang kepakaran untuk mengendalikan nya Tok Mat boleh minta bantuan Udin Lias Arab dari Tenaka sebab dia memang pakar dalam hal ni.