Thursday, April 17, 2008

UDIN KOMANDO DALAM KENANGAN

Allahyarham Hj Zainuddin Rashid atau lebih dikenali dengan nama UDIN KOMANDO 77 tahun baru sahaja meninggalkan kita pada jam 1330 hari Rabu 16 April 2008 yang lalu. Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Putrajaya dan selamat dikebumikan pada jam 1830 hari yang sama di tanah perkuburan islam Putrajaya . Allahyarham meninggalkan seorang balu Pn Napsiah 70 tahun , empat orang anak lelaki , seorang anak perempuan , beberapa orang cucu dan seorang cicit .

Sejak bersara dari Angkatan Tentera Malaysia pada tahun 1975 , Allahyarham menetap di Kampung Sawah Raja Rembau dan bergiat cergas di dalam PAS. Disiplin ketenteraan dan semangat juang yang dimiliki amat mempengaruhi perjalanan hidup allahyarham samada sebagai anggota masyarakat biasa mahupun penggerak parti. Allahyarham amat dikenali dan dihormati oleh samada rakan dalam parti PAS NS mahupun pemimpin parti lawan. Pandangan dan bacaan politiknya yang tajam selalu diambil kira di dalam sesuatu keputusan yang membabitkan perjuangan .

Walaupun PAS masih belum dapat menguasai masyarakat NS secara total , tetapi sumbangan allahyarham samada dari segi tenaga , buah fikiran mahu pun wang ringgit yang telah dicurahkan tidak dapat dinafikan telah turut menghasilkan sokongan yang diterima buat masa ini. Sebagai bukti , sudah lama calun PAS bagi DUN Kota dalam kawasan parlimen Rembau tidak hilang wang pertaruhan malah adakalanya memberikan saingan yang sengit terhadap calun BN.

Menurut salah seorang kenalan keluarga allahyarham iaitu Saudara Mohd Gawus Saat 48 tahun , allahyarham sebenarnya baharu sahaja beberapa bulan berpindah ke rumah yang disediakan oleh anak kedua allahyarham di putrajaya . Perpindahan ini terpaksa dilakukan bagi memudahkan anak-anak menjaga allahyarham dan isteri yang kebetulan sudah mula uzur sejak beberap tahun yang lalu. Puan Napsiah hanya mampu berkerusi roda buat masa ini disebabkan sakit lutut yang dihidapi sejak sekian lama.

Dua minggu yang lalu allahyarham terlalu ingin untuk bermalam di rumah sendiri di Sawah Raja dan meminta anak kedua allahyarham iaitu En Mohd Puzi untuk menghantarnya pulang. Setelah 3 malam berada di kampung , allahyarham yang memang menghidapi penyakit kencing manis , darah tinggi dan sakit jantung telah diserang mild stroke dan mendapatkan rawatan di hospital Tampin sebelum dihantar ke Hospital Seremban . Keadaan tidaklah membimbangkan kerana allahyarham boleh berjalan dan makan minum seperti biasa. Allahyarham dipindahkan ke Hospital Putrajaya atas permintaan anak-anak dan menjelang hari-hari terakhir keadaan kesihatannya terganggu semula dan seterusnya pada hari Rabu allahyarham telah meninggalkan kita buat selamanya.

Kepada rakan taulan atau sahabat handai mahu pun kenalan yang ingin mengucapkan takziah boleh lah berbuat demikian dengan menghubungi 013 2165711. Semoga segala pengorbanan yang dicurahkan oleh allahyarham selama ini diberi ganjaran oleh Allah SWT dan allahyarham ditempatkan di kalangan para aulia dan orang yang dikasihi Nya. Amin…..

4 comments:

malaysia baru said...

Jom kita doakan sama2 sahabat kita ini yg telah kembali ke rahmatullah:
Allahummaghfirlahu
warhamhu
wa’afihi
wa’fu ‘anhu
wa akrim nuzulahu
wa wassi’ madkhalhu
wa nawwir quburahu.
Amin.

Kita yg masih tinggal, berdakwah lah dan tegakkan Islam dlm diri dan negar... Amin.

pakitam67 said...

Takziah untuk Zainariah Bte Zainuddin sekeluarga

Unknown said...

ekau ni pak itam mesti samo sekolah ngan zanariah......den pun dah lamo tak jumpo keluarag ni kek kampung kecuali saudara Aniza yang lain-lain dah tak jumpo lamo.....alfatihah untuk aruah maso kocik-kocik dulu selalu gak lalu kek rumah udin komando ni....maso tu kawasan ni meriah rumah sidek gayah masih sibuk dan ramai anak beranak... rumah peot pun macam tu gak ...sekarang dah sunyi

Amid said...

Bilo baco cerito boreh tadi tu, lopeh tu cerita UITm, kemudian baco pulak cerita Alhm Udin Komando, ado pulak sobut En. Mohd Puzi, teraso dokek bona kek kampung. Timokasihlah Biol sobab rajin nulih blog ni. Ese ni jauh, tekau, tak sompek nak poi serajo tu doh, tompi memang nonga ari tu, dapek sms dari Kundor ngatokan Udin Komando dah tak do laie. Doa yang tak putuih dari se skluargo.

WS.